Membentuk keluarga bahagia, sakinah, mawaddah, wa rahmah



​​


Siaran Akhbar dan Foto: Kementerian Hal Ehwal Ugama





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Mei. - Dalam kehidupan berumah tangga, perlu ada sikap keterbukaan dalam berkomunikasi antara pasangan suami dan isteri agar salah seorang daripadanya menjadi pendengar yang memahami.


Dalam kehidupan berumah tangga juga, setiap permasalahan perlu diselesaikan dengan baik, bercakap antara kedua belah pihak untuk memperjelaskan masalah, dan pentingnya meminta pertolongan dan berserah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala.


Demikianlah antara perkara yang ditekankan melalui tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Ketua Unit Da'wah Daerah Belait, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Awang Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa, bertepatan dengan Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bertemakan: 'Keluargaku, Harapanku' yang menginspirasikan pembentukan keluarga bahagia, sakinah, mawaddah, wa rahmah.


Acara munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) Kali Ke-182 pada malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah oleh Pengerusi Badan Sukarelawan Belia Da'ie, PDI, KHEU, Awang Mohammad Najiihuddin bin Nooralizam, dari Mushalla Al-Ameen, PDI.


Menyertai Malam Munajat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.


Turut menyemarakkan acara munajat kali ini ialah ahli-ahli Badan Sukarelawan Belia Da'ie dan Belia Muallaf Syahadah; Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait serta dari beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh negara. Juga, warga kerja KHEU bersama keluarga serta individu yang turut hadir secara maya dari kediaman masing-masing.


Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk dipimpin oleh Penolong Ketua Media Belia Muallaf Syahadah, Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi, dari Mushalla Al-Ameen, PDI, KHEU.


Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh belia di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Awang Abdul Mu'iz bin Haji Jahair, dari Mushalla Al-Ameen, PDI.


Sejurus selesai tazkirah, diteruskan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pengiran Mohammad Rafiuddin bin Pengiran Haji Badaruddin dari Mushalla Al-Ameen, PDI.


Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid (SkiPPA), Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU, Awang Muhammad Nazhiim Mustaqim bin Zaini, dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.


Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya serta merafa'kan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit merbahaya.


Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu.


Close